invisible hit counter
≡ Menu

Isu Kahwin Ketika Belajar

Kahwin Ketika BelajarIsu kahwin ketika belajar sememangnya satu isu yang sering diketengahkan lebih-lebih ia mengaitkan dengan keterlibatan mahasiswa pada hari ini. Jarang sekali kita mendengar isu kahwin belajar ketika menuntut di sekolah. Ia lebih tertumpu kepada mahasiswa universiti. Kahwin ketika belajar hampir sama kahwin ketika muda, namun konsepnya berbeza sedikit iaitu kedua-dua pasangan saling berada dalam alam pembelajaran.

Pokok asas utama perbincangan ini menjadi hangat apabila ramai tampil memberikan kenyataan bahawa kahwin ketika belajar menyentuh hal kewangan. Bagaimana seseorang itu yang mahu berkahwin ketika belajar, tetapi tidak mempunyai sumber kewangan? Ini persoalan bagi pihak sebelah.

Pihak yang kedua pula, mereka tidak menyandarkan soal kewangan sebagai halangan akan tetapi menyentuh tentang aspek dalam persediaan dari segi rohani dan jasmani. Bagaimana seseorang itu yang mahu berkahwin ketika belajar, tetapi kurang dalam ilmu agama. Jangan kata soal mandi wajib pun tidak tahu, solat lima waktu pun masih lagi tunggang langgang.

Kedua-dua pihak saling bertelagah bagi menegakkan hujah mereka.

Namun begitu, hal ini sebenarnya mempunyai pro dan kontra tersendiri. Siapa yang rasakan dirinya mampu, maka teruskanlah. Jika tidak, tangguhkanlah buat sementara waktu. Jangan termakan hasutan orang lain sekiranya rasa kahwin ketika belajar itu tidak membebankan.

Sekiranya seseorang itu memilih untuk kahwin ketika belajar. Jangan risau, kita tidak akan keseorangan kerana ramai lagi telah memilih jalan ini. Namun cabarannya amat besar lebih-lebih pada bahu insan bernama lelaki. Jangan jadikan alasan belajar semata-mata tanpa memberikan sebarang nafkah kepada isteri. Berusahalah yang mampu untuk mencari sumber kewangan.

Mungkin boleh berniaga di kawasan universiti. Jangan malu kerana percayalah rakan-rakan kita yang bujang turut berusaha mencari wang dengan menjual air, keropok di sekitar kolej kediaman mereka. Malu bukan alasan, tetapi kemahuan itu perlu ada. Di samping itu, sementara menanti saatnya habis waktu belajar, rajin-rajinkanlah diri dengan segala ilmu yang dirasakan kurang.

Semoga kelak bila tamatnya belajar, dan mampu menyewa rumah malah mempunyai kerjaya sendiri, tidaklah kita berasa terumbang ambing tanpa sebarang ilmu. Baik pelajar agama mahupun bukan, jangan sombong diri untuk sentiasa menghadiri kuliah agama. Ia bertujuan  melatih diri kita supaya hati tidak keras menerima ilmu.

Kesimpulannya, berkahwin ketika belajar sekurang-kurangnya dapat mencegah maksiat yang nyata kian berleluasa. Namun perlulah diambil kira pendapat sekeliling sama ada pilihan untuk berkahwin awal ini benar-benar sesuai untuk diri kita. Apa yang paling sekali, adalah mendapat keredhaan daripada kedua ibu bapa kita.

0 comments… add one

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.