Bagi yang memilih untuk bercinta selepas bernikah, mungkin artikel ini memberi panduan buat anda. Bagi yang sudah bercinta sebelum bernikah, ia juga boleh dijadikan rujukan. Ini kerana orang yang sudah berkahwin belum tentu ia mengenali pasangannya secara mendalam. Dalam konteks mengenali, ia bukanlah bermakna kita bertanya, pasangan menjawab. Ia juga boleh dilihat mengenal bagaimana tingkah laku pasangan apabila berada di rumah mahupun di luar.
#1 Mengenali Dengan Ujian
Ini bukan ujian bertulis. Tetapi menggunakan kaedah menguji pasangan. Cuba kita buat pasangan kita marah. Cuba lihat apakah reaksi dirinya? Jika seseorang yang berada dalam situasi marah, kita harus lihat bagaimanakah dirinya mengawal ekspresi marah tersebut. Adakah dengan menghamburkan kata-kata kesat atau sebaliknya. Beruntunglah bagi seseorang yang menerima pasangan yang tidak mempunyai sifat panas baran. Ini kerana sifat panas baran antara perkara yang dianggap bahaya dan boleh meretakkan hubungan rumah tangga.
#2 Melihat Kepada Keserasian
Tidak semua apa yang kita suka, pasangan juga turut sama suka. Kadangkala jika kita suka makanan pedas, pasangan pula sebaliknya. Keserasian di sini bukanlah bermakna 100% dalam perhubungan perlu sama, tetapi keserasian yang cuba dicapai di sini adalah masing-masing boleh menerima kelebihan dan kekurangan tanpa sebarang rungutan hati. Jika kita berasa selesa dengan pasangan kita, maka itu juga sudah dianggap serasi.
#3 Kepekaan Terhadap Situasi
Pasangan perlu bijak mengawal diri dalam beberapa situasi yang dihadapi. Jika berada dalam situasi marah, maka ia perlu bijak mengawal amarahnya. Tetapi kepekaan terhadap situasi yang cuba dibangkitkan di sini adalah bagaimana pasangan berhadapan dengan sesebuah situasi. Sebagi contoh, keadaan dalam rumah berada dalam keadaan yang berselerak. Maka, apakah tanggungjawab pasangan tidak kira sama ada suami mahupun isteri dalam menyelesaikan masalah tersebut. Adakah mahu membiarkan pasangan mengemas seorang diri? Itu yang perlu kita menjadi seorang yang peka terhadap situasi.
#4 Menjadi Diri Sendiri
Jangan jadikan diri kita ini sebagai seorang pelakon, tetapi jadikanlah diri kita sebagai seorang manusia sebenar. Usah hipokrit apatah lagi berpura-pura dalam hidup sebagai suami isteri. Sebagai contoh, kita malu hidup dalam keadaan serba kekurangan. Tetapi suami pula tidak mahu kalah dan sanggup berhutang keliling pinggang kononnya dirinya mempunyai banyak wang. Hiduplah dalam keadaan bersederhana mengikut kemampuan kita.