Hari ini ramai lelaki hanya tahu pandai bercinta sahaja tetapi apabila disuruh berjumpa wali, mereka diam seribu bahasa. Jarang ada yang berani pada awalnya kerana lelaki itu sebenarnya tidak mempunyai persediaan untuk menjadi seorang suami. Jadi seikiranya seorang lelaki menyatakan hasrat untuk bertemu dengan bakal bapa mentua, itu merupakan satu perkara yang harus diberikan pujian. Ini menandakan mereka benar-benar serius dalam perhubungan. Baiklah, antara tips bertemu dengan bakal bapa mentua adalah seperti berikut :
#1 Memakai pakaian yang sopan
Bertemu dengan bakal bapa mentua hendaklah dengan berpakaian sopan. Adalah lebih baik jika kehadiran kita disambut dengan berpakaian seperti kemeja lengan pendek berseluar slack. Elakkan daripada memakai t-shirt.
#2 Tentukan hari yang sesuai
Kita perlulah bijak untuk menentukan hari apakah yang sesuai untuk bertemu dengan bakal bapa mentua. Elakkan daripada bertemu selain daripada sabtu dan ahad. Tambahan pula, hari seperti hari raya aidilfitri, kenduri adalah tidak digalakkan sebenarnya. Ini kerana biarlah pertemuan kali pertama ini tidak ada sebarang gangguan dan ini secara tidak langsung bakal bapa mentua akan memfokuskan kepada kita sahaja.
Sebagai contoh, bayangkan jika kita bertemu pada hari raya, sedang asyik ‘ditemuduga’, tiba-tiba datang pula saudara rapat mereka. Secara tidak langsung ini akan merencatkan sedikit sesi perkenalan bersama bakal bapa mentua.
#3 Mencipta perbualan berdasarkan topik kesukaan
Sebelum bertemu, cuba bertanyakan bakal isteri kita apakah kesukaan bapanya. Sebagai contoh, jika bapanya orang yang cenderung kepada politik, kita seharusnya bijak memilih topik tersebut. Cuba bangkitkan tentang isu politik dan ini secara tidak langsung akan membuka peluang untuk kita berbicara.
Dengan cara ini, bakal bapa mentua akan melihat bakal menantunya pandai mengambil hati serta bijak mengawal situasi.
#4 Jawapan yang matang
Jangan kerana terlalu gugup, kita lupa tentang matlamat sebenar untuk bertemu dengan bakal bapa mentua. Sekiranya bakal bapa mentua bertanya mengapa mahu menjadikan anaknya sebagai isteri, kita hendaklah memberikan jawapan yang matang. Elakkan bernada gurau kerana soalan ini dilihat sangat serius. Tentang jawapan apakah yang seharusnya diberikan, itu adalah skrip diri kita sendiri. Jawapan itu akan menjadi terbaik, sekiranya hati kita benar-benar ikhlas.
#5 Tidak hipokrit dengan diri sendiri
Jadilah diri sendiri, usah hipokrit terhadap bakal bapa mentua. Jika kita memakai kereta Kancil, jangan mengada-mengada untuk bertemu dengan bakal bapa mentua dengan BWM 5 Series. Itu mencari nahas namanya. Bersederhanalah dalam membuat sebarang urusan.