4 Tips Mendidik Anak Perempuan
Mendidik anak bukanlah satu perkara yang mudah terutama dalam mendidik anak perempuan. Namun begitu ia terpulang kepada persepsi masing-masing kerana ada yang menganggap sebaliknya. Anak perempuan itu sukar adalah kerana ia umpama seorang bidadari yang perlu dilindungi kehormatannya sehinggalah ia diserahkan kepada suaminya. Tambahan pula kaum wanita ini mudah timbulnya fitnah terhadap diri sendiri dan keluarga.
#1 Menerapkan soal penjagaan aurat
Antara kesukaran menjaga anak perempuan adalah dalam menitikberatkan soal menutup aurat. Memang agak sukar untuk mendidik anak memakai tudung ketika dirinya dewasa. Maka, latihlah dirinya memakai tudung ketika mulai usia 2 atau 3 tahun. Memang pada awalnya mereka akan berasa tidak selesa, tetapi lama kelamaan ia akan menganggap satu kebiasaan.
Selain itu juga, elakkan daripada membeli pakaian-pakaian yang dikhaskan untuk lelaki. Ini penting supaya ia akan lebih cenderung kepada sifat kewanitaan.
#2 Kerja rumah
Kaum wanita memang tidak boleh lari dari masuk ke dapur. Itu betul. Ketika anak perempuan sedang meningkat dewasa, galakkan dirinya untuk membantu ibu di dapur. Belajar untuk cara memasak, mengemas rumah, melipat baju dan sebagainya. Latihan ini perlu diasah daripada kecil. Jika anak kita rajin tanpa disuruh, itu merupakan satu kelebihan.
Tetapi jangan terkejut, dalam lembut-lembut anak perempuan juga mereka kadangkala terpengaruh dengan perangai budak lelaki. Jadi kita seharusnya memantau supaya dirinya tidak terikut-ikut atau melakukan perkara-perkara yang terlalu lasak kerana wanita itu fitrahnya lembut.
#3 Alat permainan
Anak perempuan lebih sesuai diberikan permainan seperti mainan masak-masak, set barang make-up dan lain-lain lagi. Jangan sesekali membelikan mainan anak lelaki seperti robot, pistol dan sebagainya. Biarpun ia tidaklah salah, namun biarlah pendedahan awal ini lebih kepada kecenderungan sifat wanita.
#4 Sopan santun
Perempuan lebih sinonim dengan watak yang lembut. Maka, latihlah anak perempuan kita agar lebih bersifat sopan santun dan berlembut dengan orang lain. Apabila ia duduk, kadangkala latih agar ia duduk bersimpuh berbanding bersila. Jika dididik dari awal, sifat kelembutan itu akan berpanjangan apabila meningkat dewasa nanti. Tidak salah untuk bergaul dengan budak lelaki, tetapi perlu dikawal agar ia tidak terpengaruh dengan sifat-sifat yang tidak sepatutnya.
Kelembutan seorang perempuan boleh dizahirkan dari segi perbuatan, pertuturan, dan tingkah lakunya. Oleh itu, jangan terlalu berkeras dengan anak perempuan bimbang mereka akan rasa tertekan dan cuba melakukan protes.