Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadratNya atas kesempatan untuk mengaut sebanyak-banyaknya pahala di bulan yang penuh dengan barokah ini. Moga dengan kedatangan Ramadhan kali ini, kita semua mendapatkeampunan dan rahmat dari Allah, dan semoga hari yang berlalu lebih baik dari semalam.
Kami ingin berkongsi sebuah kisah yang agung.
Sebuah kisah di mana permainan kata-kata dapat mempengaruhi minda dan membangkitkan emosi serta imaginasi yang hebat.
Allah berkata di dalam Surah Ta Ha mafhumnya:
Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. (118)
Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu dan tidak akan merasa panas mentari. (119)
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata:
Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?
(Ta ha 118-120)
Anda boleh lihat bagaimana seorang insan mulia yang bernama Adam ketika berada di dalam kenikmatan syurga, pelbagai tawaran yang telah diberikan untuknya. Allah yang Maha Berkuasa menawarkan dengan 4 tawaran hebat, manakala syaitan hanya menawarkan dengan dua tawaran. Tawaran yang tidak jelas dan tidak pernah dialami oleh Adam. Dipendekkan cerita, Adam memilih untuk menerima tawaran syaitan. Kisah selanjutnya, anda boleh rujuk di dalam tafsir dan terjemahan Al-Quran.
Kembali kepada kisah di atas. Sehebat mana kuasa sebuah kata-kata mampu mempengaruhi minda Adam serta isterinya Hawa. Kenapa ia berlaku?
Tulisan ini bukanlah untuk melemahkan peribadi Adam yang telah terikut akan kemahuan syaitan. Tidak sesekali tidak, tapi kita semua sebagai manusia dan juga anak-anak Adam, sejauh manakah kita mampu berhadapan dengan situasi sebegini andai ia datang menerjah kita.
Kisah generasi terdahulu adalah jambatan untuk kita lalui hari ini. Sebuah jambatan yang kukuh, sempurna dan siap dengan keselesaan melaluinya tanpa sebarang sebab untuk terlencong atau terpesong daripadanya. Mana mungkin kisah mereka tidak boleh diterjemahkan ke dalam siri episod kehidupan kita hari ini?
Sedarkah kita, permainan kata-kata ini seringkali kedengaran sana sini dalam operasi menipu dan mengaut keuntungan secara haram. Antara contoh yang biasa kita dengar, skim cepat kaya, penipuan emel di internet, orang berhutang dan tak bayar dan lain-lain. Ini semuanya merosakkan benteng-benteng kewangan yang selama ini kita usahakan.
Tidak kiralah anda bekerja atau berniaga, selain tujuan kita menyelesaikan masalah manusia lain, kita juga ingin
memperolehi dan membina pendapatan. Pendapatan yang dibina bertahun lamanya, mengapakah tidak ramai di kalangan kita merasakan betapa perlunya ia diberikan perlindungan?
Perlunya kekayaan yang kita miliki hari ini diberikan perlindungan supaya ia mengalir dengan selamat kepada generasi yang akan datang. Pentingnya kuasa sebuah sumbangan demi memastikan perjalanan kewangan kita berjalan sekalipun kita dijemput tuhan. Andaikata ditipu oleh permainan kata-kata yang indah, sejauh manakah kesemua di atas dapatdisalurkan dengan sempurna?
Masih ramai hari ini ditipu dan terus ditipu. Tidak pernah jelas apakah tawaran yang ditawarkan.
Peliknya, ramai yang memilih untuk nampak keuntungan pada rendahnya risiko dan tingginya pulangan. Di manakah logiknya perkara tersebut.
Akan tetapi, makin hari makin manusia ditipu dengan kata-kata indah. Di manakah hakikatnya sebuah kehidupan yang tidak akan mati dan sebidang kuasa yang tidak akan lenyap seperti tawaran syaitan!
Tatkala Adam menuruti kehendak syaitan, maka terlucutlah segala kenikmatan dan pakaian syurga yang diperolehi selama ini. Tiada beza dengan mangsa yang ditipu dengan penipuan hari ini.
Hilang segala harta pencarian yang dibina bertahun lamanya dan paling menyedihkan, sanggup berhutang pula demi memenuhi habuan sang penipu tersebut. Berganda-ganda teruknya apabila masih menyerahkan duit semata ingin mendapatkan pulangan yang langsung tidak logik dan tiada siapa boleh menasihatinya agar berhenti. Kita semua keturunan Adam. Kita semua manusia yang secara fitrahnya memiliki kelemahan ini.
Sebagai manusia, kita perlu sentiasa sedar dan peka akan kekurangan ini agar tidak mudah terperangkap dengan apa jua yang memukau dan mempersonakan.
Ini baru penipuan yang melibatkan kehilangan harta benda, apatah lagi penipuan yang melibatkan hilangnya Aqidah dengan Tuhan? Nauzubillahi min zaalik.
Dunia secara umumnya adalah ujian yang berat buat semua. Walaupun sedar dunia menipu, tapi masih lagi membiarkan diri menjadi mangsanya.
Jadi, bagaimana kita boleh melindungi kekayaan?
Semuanya kembali kepada satu kalimah iaitu bersyukur. Adam dan Hawa setiap hari menikmati apa yang Allah S.W.T tawarkan. Manakala datang syaitan menawarkan sesuatu yang luar biasa, belum pernah Adam menikmatinya, sehingga dia
terlupa akan segala nikmat yang telah dia miliki selama ini. Keturunan syaitan itu masih wujud dengan menggunakan formula yang sama. Kata-kata indah yang mempersona. Mereka tidak pernah kenal penat lelah mencipta, mengkaji dan memperbaharui teknik penipuan asalkan dapat memperdaya dan menganiaya insan lain.
Mari kita semak balik dan kembali mengenali semula erti sebuah kesyukuran. Golongan yang bersyukur, nescaya Allah akan tambahkan lagi. Golongan yang kufur, nikmat pun tidak ingin untuk mendampingi.
Bagi yang pernah mengalami situasi di atas, kembalilah bertaubat seperti mana taubatnya Adam.
Moga kita lebih berhati-hati dan sentiasa merujuk pendapat mereka yang lebih berpengalaman dan berilmu sebelum membuat sebarang keputusan terutamanya yang melibatkan kehilangan harta dan sebagainya. Pasakkan kesyukuran, sebarkan senyuman, moga hidup akan lebih aman. Salam Ramadhan Al-Mubarak- Ao Tribe
Setiap insan pasti pernah melakukan kesalahan, namun kesalahan itu akan terhapus apabila ada niat yang kuat untuk tidak mengulanginya lagi, benarkan? salam kenal ya!
YAkin dengan rezeki Allah, pasti ada kekayaan dan kejayaan yang kita miliki. Ikutlah perintah Allah.