Janganlah sesekali kita menyebut tentang poligami di hadapan isteri. Jangan tanya kenapa jika dirinya mula menarik muka. Apatah lagi jika seorang suami itu menyatakan hasrat untuk berpoligami. Poligami adalah satu perkara yang dianggap ‘musuh’ bagi sebahagian wanita, Fitrah manusia biarpun ada yang mengizinkan perkara itu berlaku, tetapi dia tidak dapat menipu dirinya sendiri.
Pada hari ini juga ramai yang menyebarkan tentang hadith bahawa wanita yang mengizinkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas di akhirat kelak. Hadith tersebut adalah taraf maudhu’ iaitu palsu yang direka-reka.
Sebelum berpoligami, tanya diri kita apakah sebenarnya kemahuan kita sehingga berhasrat sedemikian. Ia bukan mudah, tetapi ternyata sukar kerana ia wajib untuk berlaku adil dengan semua pasangan. Apa yang isteri kedua dapat, isteri pertama juga harus dapat. Persoalannya, mengapa perlu memilih untuk berpoligami?
#1 Istikharah
Jika buntu, maka istikharahlah. Berdoa pada Allah SWT agar diberikan pentunjuk. Manusia perlukan petunjuk agar dirinya tidak terpesong dari landasan sebenar. Fikirkan tentang pro dan kontra jika memilih jalan ini.
#2 Kemampuan diri
Ini antara perkara yang paling penting. Mahu berpoligami, tetapi kewangan tidak kukuh. Kita perlu memastikan bahawa seorang suami itu mempunyai kemampuan yang membolehkan dirinya memberikan nafkah secara adil. Bukan hanya menyandarkan kepada nafsu semata-mata. Kadangkala ada yang madu tidak kisah untuk tinggal serumah, tetapi ada yang tidak mahu dan menginginkan sebuah rumah yang lain. Itu tanggungjawab suami untuk menyediakan segala keperluan.
Selain itu, lihat pada kemampuan diri dalam aspek hubungan kelamin. Adakah kita mampu untuk memberikan nafkah batin kepada mereka. Mereka mempunyai hak, dan sebagai seorang suami perlu menunaikan kewajipan tersebut.
#3 Keizinan isteri
Kebiasaannya dalam drama-drama tempatan, pelbagai aksi menarik yang kita dapat tonton tentang gelagat mereka meminta keizinan isteri dalam berpoligami. Bagi menandatangani surat keizinan pengesahan daripada isteri, pelbagai taktik yang dilakukan agar isteri berjaya diperdayakan.
Namun begitu berbincang secara berhadapan untuk menyatakan hasrat tersebut, itu adalah lebih baik. Setidak-tidaknya, tidaklah berlaku ‘perang’ dikemudian hari dek kerana cuba merahsiakan hal ini. Sekiranya mendapat persetujuan kedua-dua pihak, itu akan lebih memudahkan segala urusan dijalankan.
#4 Memilih poligami
Kita janganlah memilih untuk berpoligami sehingga menyebabkan isteri terabai. Nyatakan apakah alasan kita untuk berpoligami. Islam memang tidak melarang seorang lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu, malah kuota sehingga empat orang isteri. Namun biarlah alasan itu benar-benar ikhlas dari dalam hati kita antaranya seperti isteri tidak boleh melahirkan zuriat, isteri mempunyai masalah kesihatan, masalah batin dan sebagainya.